Sunday, October 5, 2008

HARGA BARANG KEPERLUAN DI KL NAIK MENDADAK

Harga Barang Keperluan di KL Naik Mendadak
Oleh Amirah amaly syafaat (Mingguan Malaysia)
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Harga beberapa barangan keperluan di sini dikesan naik mendadak sejak sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri sehingga hujung minggu hari ini.
Tinjauan Mingguan Malaysia di Pasar Pudu di sini hari ini mendapati antara barangan keperluan yang mengalami kenaikan harga ialah cili hijau dijual RM10 sekilogram (harga asal RM7), daging RM17 (RM15), ayam RM7.50 (harga siling RM7), ikan kembung RM10 (RM8), kacang panjang RM5 (daripada RM3) dan cili kering RM10.50 (harga asal RM6).
Seorang peniaga sayur, R. Krishnan, 42, berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga jualan barangan keperluan antara 20 sen dan 30 sen sekilogram kerana terpaksa membelinya pada harga yang tinggi daripada pembekal.
"Mereka menaikkan harga dengan alasan tiada pengangkutan semasa perayaan. Saya tahu pembeli akan merungut, tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya ketika ditemui di Pasar Pudu.
Seorang peniaga ikan dan makanan laut, Chong Loy Fatt, 44, berkata, beliau sering mengalami masalah untuk mendapatkan bekalan terutama sotong yang kini dijual dengan harga RM16 sekilogram berbanding RM11 sebelum ini.
"Mungkin faktor cuaca menyebabkan kebanyakan pembekal menaikkan harga ikan kembung, tenggiri, bawal putih, bawal hitam dan kerapu," ujarnya.
Seorang peniaga ayam, Asmah Thamby Hitam, 53, berkata, beliau masih menjual harga ayam mengikut harga siling yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Bagaimanapun, beliau mendakwa, terdapat beberapa penjual ayam yang menjual harga ayam sehingga RM10 sekilogram terutama pada malam sebelum 1 Syawal.
Seorang suri rumah, Asmah Abdul Majid, 44, berkata, belanja untuk barang keperluan rumahnya semakin meningkat sejak kerajaan menaikkan harga minyak Jun lalu.
"Kalau dahulu, kita boleh beli sayur-sayuran, ikan dan barangan keperluan lain cukup untuk seminggu hanya dengan belanja RM100, tetapi kini ia berlainan sekali. Semuanya perlu perancangan teliti," ujarnya.
Pendapat itu turut disokong oleh seorang lagi suri rumah, Faridah Mohd. Jaafar, 46, yang mengatakan kenaikan itu turut melibatkan minyak masak, telur, daging lembu import dan ikan bilis.
"Saya berharap kerajaan mempunyai cara untuk membantu rakyat mendapatkan kembali harga barangan yang berpatutan," ujarnya.


Akibat dari harga petrol naik 78 sen, semua barangan tumpang ‘the band wagon’, tapi bila dikurangkan 25 sen, harga yang lain buat tak tau saja.Naik mau turun tak mau.

Pemerintah buat tindakan sakerat jalan, ibarat bila turun pokok kelapa, kalau turun separuh tak akan sampai ke tanah. Macam ni orang tak kata harga petrol turun.

Peniaga pasar malam marah bila isi minyak van dan kereta mereka, tapi buat selamba saja bila naikkan harga jualan. Yang susah pengguna, yang merana orang pencen.

No comments: